Persediaan Sebelum Hadapi Peperiksaan

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting kerana ia bakal menjadi satu pengukur aras masa depan seseorang remaja.

Ini kerana pelbagai urusan seperti permohonan kemasukan ke universiti mahupun untuk mendapatkan kerja, sijil itu adalah menjadi keutamaan untuk dinilai.

Tanpa sijil itu, masa depan remaja mungkin akan gelap dan menyebabkan kehidupan mereka terkandas di satu tahap yang mungkin akan kekal buat selama-lamanya.

Atas dasar itu, persediaan rapi diperlukan untuk memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak hanya sekadar membaca semata-mata.

Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian oleh pelajar menjelang peperiksaan penting itu.

Menurut Tengku Asmadi, paling utama calon perlu memberikan penekanan terhadap persediaan seperti fizikal, mental, emosi dan rohani.

Katanya, aspek fizikal adalah paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan kelak.

examo-ckm500-halal

Pernah dengar tak berkenaan pemakanan minda Examo? Klik di sini

.

Katanya, aspek fizikal yang perlu diberikan penekanan adalah seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri.

Tengku Asmadi berkata, pemakanan seimbang penting kerana ia bakal membantu pelajar terus cergas dan bertenaga sebelum dan semasa mengambil peperiksaan.

“Sebaik-baiknya perlu mengambil banyak makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu serta membuang terus tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan itu supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.

“Ironinya tidur awal adalah supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya setelah menjalani pelbagai aktiviti dan bangun awal kerana tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.

“Apabila bangun awal gunakan masa itu untuk bersolat dan mengimbas apa yang dipelajari hari sebelumnya kerana pada awal pagi otak akan lebih mudah menyerap maklumat,” katanya.

Tengku Asmadi juga turut menyarankan pelajar memberi perhatian mengenai aspek emosi dengan tidak terlalu mengikut perasaan dalam melakukan sesuatu dan bimbang dengan peperiksaan yang bakal menjelma.

Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan jangan membelenggu fikiran dengan kegagalan kerana ia akan memberi kesan kepada tumpuan terhadap pelajaran.

“Berfikiran positif tidak kira kecil atau besar kejayaan itu tidak penting. Yang paling penting kita sentiasa berfikiran positif kerana ia akan memberi kesan yang baik ketika belajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terutamanya pelajar perempuan supaya tidak terlibat dalam cinta monyet.

Katanya, pengalaman dalam bidang motivasi telah menemukannya dengan pelbagai kes berkaitan dengan cinta monyet dan rata-rata daripada mereka telah menghancurkan masa depan mereka.

“Biasalah remaja, bila terperangkap dalam cinta monyet ini mereka akan bertindak di luar batasan dengan jiwa mereka yang memberontak dan akhirnya membawa kehancuran kepada masa depan mereka,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, antara elemen lain yang perlu diberi perhatian sebelum peperiksaan adalah mengelak daripada semua konflik terutama dengan guru dan ibu bapa.

Katanya, ia penting kerana guru dan ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan.

Sementara itu, bagi yang beragama Islam, beliau berkata aspek kerohanian penting dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan bagi diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.

“Puasa sunat, berzikir dan bangun pada malam untuk melakukan sembahyang hajat adalah disarankan dan ajak ahli keluarga lain untuk bersama-sama melakukan bersama-sama.

“Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga,” katanya.

Beliau juga turut meminta semua pelajar memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu bapa dan guru.

“Restu daripada ibu bapa amat penting dan bukan sekadar meminta maaf, tetapi berhadapan dengan setiap guru satu persatu-satu.

“Nyatakan penyesalan dan minta semua halalkan ilmu dan makan minum serta meminta mereka mendoakan kejayaan kita ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.

Jangan desak anak-anak

Sementara itu, Tengku Asmadi berkata, ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak-anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka.

Ini kerana katanya, ibu bapa memainkan peranan penting kerana kebiasaannya anak-anak akan melihat dan mengambil ibu bapa mereka sebagai contoh dalam menempa kejayaan.

“Anak-anak akan melihat ibu bapa mereka sebagai idola. Permintaan ibu bapa tidak akan dipandang rendah dan jika permintaan itu melampaui kemampuan mereka dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka,” katanya.

Katanya, paling penting ibu bapa perlu memberi dorongan supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai tidak mengikut kehendak mereka.

“Anak-anak apabila didesak akan menambahkan ketakutan dan kebimbangan dalam diri mereka.

“Menerima kemampuan dan sentiasa memberi galakan adalah lebih mulia dan itu juga adalah satu kejayaan,” katanya.

Sebagai alternatif katanya, ibu bapa disarankan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anak mereka dengan memberitahu apa yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan.

“Anak-anak akan lebih terharu dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita paksa mereka, biar mereka usaha sendiri cuma beri galakan kepada mereka,” ujarnya.

Jelasnya, apa yang bakal mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan nanti adalah bukti usaha mereka dan ibu bapa harus terima dan terus memberi galakkan kepada mereka untuk terus berjaya.

“Tetapi jangan sesekali memaksa mereka kerana akhirnya anak-anak itu sendiri yang akan memilih apa yang terbaik untuk diri,” katanya.

.

Sumber Rujukan:
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI, mstar.com.my (15/11/2010)

Jaga Pemakanan Ketika Peperiksaan

Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan.

Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

examo-ckm500-halal

Pernah dengar tak berkenaan pemakanan minda Examo? Klik di sini

.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan:

  1. Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.
  2. Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.
  3. Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.
  4. Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.
  5. Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan
  6. Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.
  7. Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.
  8. Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

.

Sumber rujukan:
Arkib, utusan.com.my (24/11/2011)

10 Petua Hadapi Peperiksaan

1. Jangan tinggalkan doa dan solat hajat

2. Bersedekah

Antara keberkatan bersedekah adalah diluaskan rezeki oleh Allah SWT. Rezeki bukan berupa harta semata-mata, tetapi juga berupa kejayaan dalam pelajaran. Justeru, biasakan diri bersedekah sekurang-kurangnya pada hari Jumaat bagi meraih keberkatan tersebut.

3. Lazimi membaca Al-Quran

Antara cara untuk menjernihkan hati adalah dengan zikrullah , manakala zikrullah yang paling afdhal adalah membaca Al-Quran.

4. Hafal ” mana yang patut ”

Jangan bebankan otak kita untuk menghafal perkara-perkara yang ”tidak patut”, sebaliknya kenal pasti apa yang patut dihafal dan mana yang tidak. Adakala, sesetengah subjek memerlukan lebih kepada kefahaman berbanding menghafal. Sebaliknya ada juga subjek yang memerlukan lebih kepada hafalan , contohnya takrif-takrif istilah atau dalil-dalil. Jika kita tidak bijak membezakan kedua perkara tersebut, dikhuatiri otak kita cepat penat seterusnya mengurangkan kualiti pembelajaran kita dan menyebabkan otak berserabut.

5. Buat nota

Sebenarnya ada kelebihan kepada pelajar yang suka menulis. Perhatikan, ada orang kerjanya memang suka menulis, manakala ada orang lebih suka mendengar. Orang yang suka menulis akan menulis apa sahaja yang dia dengar atau maklumat yang dia dapat, tetapi sesetengah orang tidak begitu. Kalau dilihat dari sudut kaedah menghafaz Al-Quran, kaedah menulis (tahriri ) ini sebenarnya sangat membantu ingatan seseorang penghafaz Al-Quran. Begitu juga dengan madah / subjek, jika kita seorang yang rajin membuat nota , meskipun kita tidak menghafal secara langsung, tetapi menulis nota itu sendiri sebenarnya merupakan satu proses hafalan secara tidak langsung kepada kita.

6. Belajar dengan bijak (study smart)

Sememangnya cara belajar akhir waktu bukanlah cara yang baik untuk dipraktikkan. Sebaiknya, kita telah mempunyai jadual ulangkaji yang konsisten dari awal lagi.

7. Betulkan niat

Sesungguhnya niat kita bukan hanya untuk semata-mata untuk lulus, sebaliknya kita mahu menyimpan ilmu itu benar-benar di dalam dada kita.

8. Minimakan perkara-perkara yang melalaikan

Jika seseorang itu benar-benar mahu sukses, maka ini antara mujahadah terbesar yang perlu dilakukan. Bukan mudah sebenarnya untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Contohnya menonton filem, bermain game, melayari internet, Facebook dan selainnya. Kecuali jika kita bijak membataskan masa, maka tidak akan menjadi masalah. Jika tidak, peratusan tumpuan kita akan terjejas.

9. Doa guru

Antara punca keberkatan adalah keredhaan dari guru yang mengajar. Meskipun kita tidak rapat dengan guru atau pensyarah, sekurang-kurangnya jangan tinggalkan mereka dalam setiap doa kita. Mintalah pada Allah supaya guru kita tersebut diberikan kesihatan serta kebaikan yang berpanjangan. InsyaAllah ilmu yang kita dapat akan diberkati & dipermudahkan oleh Allah.

10. Minta doa dari ibu bapa

Mintalah restu dari kedua ibu bapa kita dan minta mereka doakan kita supaya dipermudahkan dalam menempuhi peperiksaan. Semoga redha dari mereka akan memudahkan proses pembelajaran kita dan memberi kelapangan kepada hati kita untuk menduduki peperiksaan.