Buah Hati

permainan-anak-01

Anak

Anak anak adalah buah hati kita. Jangan bandingkan antara mereka. Yang pandai jangan terlalu dipuji, yang lemah janganlah kita keji.

Anak yg baik, anak yg cerdik; cuma ujian. ALLAH nak tengok kita demand ke tidak, letak syarat ke tidak, kerja kuat ke tidak, sabar ke tidak.

Anak2 yg biasa-biasa, tak berapa pandai; itu hadiah ALLAH. Di mata manusia mereka biasa saja, tapi siapa tahu kekurangan mereka ASBAB kita masuk syurga. Tak perlu kecewa hasil kita tak seberapa. Mana tahu kalau asyik cemerlang, kita riak menjaja bangga.

Anak2 yang biasa-biasa ini mungkin menjadikan kita tidak leka dengan kerjaya & rencahnya. Jangan lukai hati anak2 kita. Terimalah pemberian ALLAH dengan redha. Sayangi mereka sama rata. Doakan mereka tak kira di mana-mana. Maaf dan ampunkan mereka penuh tulus tanpa berbeza kasih.

Anak2 kita mentah, jiwa mereka rapuh. Yang salah kita, terlebih menghukum daripada membina. Terlebih menyumpah daripada membimbing. Terlebih marah daripada nasihat. Terimalah mereka penuh amanah.

Anak2 ini dipinjamkan buat kita untuk dijadikan ummat Muhammad yang hebat. Bukan membesar untuk dinobat. Jangan bezakan anak2 kita, kerana di luar sana ramai lagi yang tak merasa jadi ibu bapa.. belajarlah malu pada ALLAH, DIA yang sebegitu hebat tak pernah bezakan hamba-hambaNya tapi kenapa kita seorang hamba sangat suka beza-membeza.

Anak2 kita juga punya hati dan jiwa. Mana tahu ada yang kita tak beri penuh perhatian skg tp dia lah yg akan ingat kita sampai tua, akan mendoakan kita hingga ke syurga.

Jangan berhenti untuk menjadi ibu bapa yang berilmu dan cemerlang!

Kata-kata indah untuk renungan kita bersama….

Sumber: Whatsapp Group

examo-pemakanan-minda-terbaik_16092014

Examo – Menjana Generasi Cemerlang Sejak 1978, klik di sini sekarang!

Persediaan Sebelum Hadapi Peperiksaan

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting kerana ia bakal menjadi satu pengukur aras masa depan seseorang remaja.

Ini kerana pelbagai urusan seperti permohonan kemasukan ke universiti mahupun untuk mendapatkan kerja, sijil itu adalah menjadi keutamaan untuk dinilai.

Tanpa sijil itu, masa depan remaja mungkin akan gelap dan menyebabkan kehidupan mereka terkandas di satu tahap yang mungkin akan kekal buat selama-lamanya.

Atas dasar itu, persediaan rapi diperlukan untuk memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak hanya sekadar membaca semata-mata.

Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian oleh pelajar menjelang peperiksaan penting itu.

Menurut Tengku Asmadi, paling utama calon perlu memberikan penekanan terhadap persediaan seperti fizikal, mental, emosi dan rohani.

Katanya, aspek fizikal adalah paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan kelak.

examo-ckm500-halal

Pernah dengar tak berkenaan pemakanan minda Examo? Klik di sini

.

Katanya, aspek fizikal yang perlu diberikan penekanan adalah seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri.

Tengku Asmadi berkata, pemakanan seimbang penting kerana ia bakal membantu pelajar terus cergas dan bertenaga sebelum dan semasa mengambil peperiksaan.

“Sebaik-baiknya perlu mengambil banyak makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu serta membuang terus tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan itu supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.

“Ironinya tidur awal adalah supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya setelah menjalani pelbagai aktiviti dan bangun awal kerana tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.

“Apabila bangun awal gunakan masa itu untuk bersolat dan mengimbas apa yang dipelajari hari sebelumnya kerana pada awal pagi otak akan lebih mudah menyerap maklumat,” katanya.

Tengku Asmadi juga turut menyarankan pelajar memberi perhatian mengenai aspek emosi dengan tidak terlalu mengikut perasaan dalam melakukan sesuatu dan bimbang dengan peperiksaan yang bakal menjelma.

Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan jangan membelenggu fikiran dengan kegagalan kerana ia akan memberi kesan kepada tumpuan terhadap pelajaran.

“Berfikiran positif tidak kira kecil atau besar kejayaan itu tidak penting. Yang paling penting kita sentiasa berfikiran positif kerana ia akan memberi kesan yang baik ketika belajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terutamanya pelajar perempuan supaya tidak terlibat dalam cinta monyet.

Katanya, pengalaman dalam bidang motivasi telah menemukannya dengan pelbagai kes berkaitan dengan cinta monyet dan rata-rata daripada mereka telah menghancurkan masa depan mereka.

“Biasalah remaja, bila terperangkap dalam cinta monyet ini mereka akan bertindak di luar batasan dengan jiwa mereka yang memberontak dan akhirnya membawa kehancuran kepada masa depan mereka,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, antara elemen lain yang perlu diberi perhatian sebelum peperiksaan adalah mengelak daripada semua konflik terutama dengan guru dan ibu bapa.

Katanya, ia penting kerana guru dan ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan.

Sementara itu, bagi yang beragama Islam, beliau berkata aspek kerohanian penting dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan bagi diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.

“Puasa sunat, berzikir dan bangun pada malam untuk melakukan sembahyang hajat adalah disarankan dan ajak ahli keluarga lain untuk bersama-sama melakukan bersama-sama.

“Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga,” katanya.

Beliau juga turut meminta semua pelajar memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu bapa dan guru.

“Restu daripada ibu bapa amat penting dan bukan sekadar meminta maaf, tetapi berhadapan dengan setiap guru satu persatu-satu.

“Nyatakan penyesalan dan minta semua halalkan ilmu dan makan minum serta meminta mereka mendoakan kejayaan kita ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.

Jangan desak anak-anak

Sementara itu, Tengku Asmadi berkata, ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak-anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka.

Ini kerana katanya, ibu bapa memainkan peranan penting kerana kebiasaannya anak-anak akan melihat dan mengambil ibu bapa mereka sebagai contoh dalam menempa kejayaan.

“Anak-anak akan melihat ibu bapa mereka sebagai idola. Permintaan ibu bapa tidak akan dipandang rendah dan jika permintaan itu melampaui kemampuan mereka dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka,” katanya.

Katanya, paling penting ibu bapa perlu memberi dorongan supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai tidak mengikut kehendak mereka.

“Anak-anak apabila didesak akan menambahkan ketakutan dan kebimbangan dalam diri mereka.

“Menerima kemampuan dan sentiasa memberi galakan adalah lebih mulia dan itu juga adalah satu kejayaan,” katanya.

Sebagai alternatif katanya, ibu bapa disarankan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anak mereka dengan memberitahu apa yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan.

“Anak-anak akan lebih terharu dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita paksa mereka, biar mereka usaha sendiri cuma beri galakan kepada mereka,” ujarnya.

Jelasnya, apa yang bakal mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan nanti adalah bukti usaha mereka dan ibu bapa harus terima dan terus memberi galakkan kepada mereka untuk terus berjaya.

“Tetapi jangan sesekali memaksa mereka kerana akhirnya anak-anak itu sendiri yang akan memilih apa yang terbaik untuk diri,” katanya.

.

Sumber Rujukan:
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI, mstar.com.my (15/11/2010)

Jaga Pemakanan Ketika Peperiksaan

Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan.

Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

examo-ckm500-halal

Pernah dengar tak berkenaan pemakanan minda Examo? Klik di sini

.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan:

  1. Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.
  2. Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.
  3. Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.
  4. Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.
  5. Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan
  6. Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.
  7. Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.
  8. Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

.

Sumber rujukan:
Arkib, utusan.com.my (24/11/2011)

Pemakanan Sihat Untuk Minda

ADHD-autism-2

Pemakanan yang berkhasiat, berzat dan seimbang bukan sahaja mencegah berlakunya masalah jantung dan kanser tetapi turut merangsang otak yang subur.

ADHD-autism-2Saintis telah melakukan pelbagai kajian bagi membuktikan bahawa pemakanan mempunyai kaitan langsung dengan kesuburan otak.

Pensyarah dalam bidang neurosurgeri di University of California, Los Angeles (UCLA), Profesor Fernando Gomez Pinilla telah bertahun-tahun membuat kajian tentang kesan pemakanan, senaman dan tidur ke atas otak dan beliau dapati pemakanan yang sesuai dapat menyuburkan dan membantu fungsi otak, lalu mengurangkan stres dan gangguan emosi.

Ramai ibu bapa yang mungkin terlepas pandang betapa pemakanan mempunyai kesan langsung terhadap tingkah laku anak-anak.

Satu penyelidikan telah dilakukan oleh Dr. Hemamali Perera, yang bertugas di Jabatan Psikologi, Universiti Colombo, Sri Lanka.

Beliau memberikan kanak-kanak sekolah yang ada masalah tumpuan dan hiperaktif (ADHD) rawatan menggunakan ubat-ubatan standard namun tiada sebarang peningkatan positif dari segi tingkah lakunya.

Kanak-kanak ini kemudiannya diberikan asid lemak setiap hari selama enam bulan. Hasil kajiannya mendapati peningkatan positif yang ketara dari segi keresahan, agresif, melengkapkan kerja, dan peningkatan prestasi akademik anak-anak ADHD ini. Malah pada 2009, kajian yang dijalankan oleh Unit Psikiatri, Universiti Of Bristol, UK, mendapati anak-anak yang diberikan makanan ringan seawal usia empat tahun menyumbang kepada masalah tingkah laku dan hiperaktif.

Maka jelas sekali bahawa pemakanan yang baik penting bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang.

produk-minda-examo

.

Bagaimana produk  minda Examo dapat membantu permasalahan perkembangan minda anak-anak dalam pembelajaran?

Klik di sini untuk info lanjut…

8 Aktiviti Untuk Merangsang Minda Anak

Semua ibu bapa mahukan anak yang cergas, cerdik dan ceria.
Tetapi, mampukah impian ini dicapai?
Apatah lagi apabila kepintaran bukan diwarisi tetapi perlu dipelajari.

permainan-anakTujuh tahun pertama adalah tempoh paling penting dalam perkembangan seseorang kanak-kanak. Otak kanak-kanak umpama span yang menyerap apa saja yang tersaji di sekeliling mereka sama ada baik atau buruk. Inilah sebabnya pakar perubatan, pendidikan dan ilmuwan menyarankan ibu bapa supaya memberi perhatian khusus terutama dalam mendidik anak kerana pada usia begini, anak masih belum dapat membezakan antara yang baik dengan buruk.

Memang semua ibu bapa mengimpikan mempunyai anak yang cerdik, tetapi tidak ramai yang mampu menghantar anak ke prasekolah berprestij. Namun begitu, ada beberapa aktiviti yang boleh kita lakukan sendiri untuk membantu merangsang minda anak terutama yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

.

8 aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah:

1. Masa berdua dengan anak

Walaupun inilah masanya anak kita belajar berdikari, mereka tetap mahukan kehadiran anda dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Masa berdua sangat penting kerana inilah saatnya anda boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya. Inilah juga masanya untuk anda memberikan teguran pada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan tanpa si kecil berasa malu berbanding jika ditegur di depan adik-beradik lain.

Malah, pada ketika inilah juga anda boleh bertanyakan perkara yang disukai atau sebaliknya. Biasanya ketika berdua ini sambil melakukan aktiviti kegemarannya, anak akan lebih mudah untuk berbicara dan meluahkan rasa hatinya.

.

2. Membaca buku bersama

Membaca buku bukan saja baik untuk merangsang minda anak, malah ia menjadi saat berkualiti untuk benar-benar berhadapan dengan si kecil.

Kajian menunjukkan membaca buku dengan anak prasekolah dapat memperbaiki kemahiran si kecil mengenal huruf. Berbincang mengenai apa yang dibaca dengan anak dapat membantu meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasanya.

 .

3. Bermain olok-olok

Ini permainan yang amat digemari kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak prasekolah berumur tiga hingga lima tahun mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ketika inilah mereka mula bermain dan berpura-pura menjadi guru, ibu, doktor, puteri, watak adi wira atau seumpamanya.

Selain menyeronokkan, permainan imaginasi atau olok-olok ini memberi peluang kepada si kecil mengenali peranan satu-satu watak yang dipilihnya. Anda boleh merangsang perkembangan minda anak dengan memasukkan satu masalah atau insiden supaya dia berfikir cara untuk menangani perkara berkenaan.

Idea yang dilahirkan mungkin boleh membuatkan anda ketawa tetapi ia sebenarnya bersesuaian dengan pengetahuannya. Pakar berkata bermain olok-olok juga boleh membantu memperbaiki kemahiran bahasa kerana ia membabitkan pemikiran untuk melahirkan satu-satu perlakuan dengan kata-kata dan mengulang semula apa yang mereka dengar. Kemahiran bersosial juga menjadi lebih baik jika mereka bermain dengan adik-beradik lain.

 .

4. Mempunyai kehidupan sosial

Kanak-kanak sekarang amat akrab dengan teknologi. Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kanak-kanak terpaku dan tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Malah, ia juga boleh membuatkan kanak-kanak hilang banyak kemahiran termasuk penguasaan bahasa, bersosial, berkongsi dan bertolak ansur, bahkan mereka tidak pandai menikmati keseronokan bermain di luar rumah.

Galakkan anak bermain di luar bersama kawan-kawannya kerana ia akan membantu meningkatkan kemahirannya bersosial. Ketika bermain inilah dia belajar untuk berkawan, berkongsi, bertolak ansur, mengawal diri dan berunding – kemahiran yang sangat penting supaya dia boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

 .

examo-pemakanan-minda-terbaik_16092014

Adakah Produk Minda Satu Keperluan? | Testimoni Produk Minda Examo

.

5. Bermain permainan yang ada peraturan dan menguji minda

Ia akan mengajar kanak-kanak untuk bersabar, menunggu giliran dan mematuhi peraturan. Selain itu kanak-kanak juga akan belajar untuk menerima kekalahan. Mengingati peraturan dikatakan menjadi senaman untuk menguatkan daya ingatan. Permainan fizikal yang juga membantu koordinasi otak dan pergerakan anggota badan.

Mulakan dengan permainan yang mempunyai tiga atau empat peraturan mudah. Pilih permainan yang pendek dan boleh diselesaikan dengan cepat. Permainan menguji minda contohnya teka-teki, silang kata serta menyusun gambar atau warna merangsang minda anak untuk membayangkan jalan penyelesaiannya. Ia juga akan merangsang pergerakan otot jari mereka yang kecil.

 .

6. Belajar bahasa lain

Kajian menunjukkan kanak-kanak lebih cepat menguasai bahasa berbanding orang dewasa. Belajar bahasa kedua atau ketiga ketika kecil juga memberi rangsangan berganda kepada bahagian otak yang berperanan untuk menyimpan, menyusun dan mengucapkan kata-kata. Bahasa kedua juga membantu perkembangan kemahiran lisan, memperbaiki penguasaan perkataan dan membaca.

.

7. Menonton televisyen bersama-sama

Ya, pada zaman moden ini kanak-kanak dan televisyen tidak dapat dipisahkan. Namun, pilihlah rancangan bercorak pendidikan yang bersesuaian dengan minatnya. Anda boleh menguji kefahaman anak dengan meminta dia bercerita mengenai apa yang ditontonnya termasuk rancangan kartun. Kehadiran anda membolehkan dia bertanya jika ada perkara yang tidak difahaminya.

Bagaimanapun hadkan masa menonton televisyen kepada satu atau dua jam saja setiap hari. Lebih baik jika tempoh ini turut merangkumi masa untuknya bermain permainan komputer.

 .

8. Memasuki kelas kanak-kanak

Ini termasuk kelas mempertahankan diri, muzik, lukisan atau apa saja bersesuaian dengan minat mereka. Ia boleh membantu mereka untuk belajar berinteraksi, bersosial, mendengar dan mematuhi arahan serta memperbaiki keseimbangan badan. Tidak kurang pentingnya, ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri si kecil.

Usah Abai Sarapan Pagi

usah-abai-sarapan-pagi

PENTINGKAH bersarapan? Suatu masa dulu, sarapan menjadi juadah yang paling penting dalam kehidupan seharian. Namun, kesibukan sering menyebabkan semua ahli keluarga tidak sempat untuk duduk menikmati sarapan bersama-sama. Apakah sebenarnya yang sudah berlaku kepada waktu sarapan?

Seiring dengan perkemba­ngan teknologi, kita mulai mengalami tekanan untuk menye­gerakan tugas seharian dalam masa yang singkat seterusnya menyebabkan semakin ramai tidak mengambil sarapan.

Istilah sarapan dalam bahasa Inggeris, ‘breakfast’, membawa maksud berbuka puasa iaitu ‘puasa’ yang bermula dari waktu makan malam pada malam sebelumnya sehingga waktu makan tengah hari hari berikutnya. Sarapan penting untuk memberikan kita tenaga melakukan aktiviti seharian.

Tetapi kebanyakan mereka daripada golongan profesional terlalu sibuk untuk bersarapan dan hanya sempat menggantikannya dengan secawan kopi, dengan harapan ia cukup untuk bertahan sehingga waktu tengah hari.

Menurut Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC) yang terletak di Washington, Amerika Syarikat, seseorang yang makan sarapan secara konsisten akan mendapat khasiat serat, kalsium, vitamin A, vitamin C, riboflavin, zink dan zat besi, di samping jumlah kalori dan lemak makanan yang lebih sedikit berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan.

Kajian lanjut turut menunjukkan bahawa mereka yang mengambil sarapan berkhasiat mempunyai ukur lilit bahagian pinggang yang ‘lebih sihat’. Malah IFIC mengatakan sarapan turut menambah kecerdasan otak dan ingatan, di samping meningkatkan lagi ketangkasan, tumpuan serta kebolehan menyelesaikan masalah.

Sekiranya kita tidak mengam­bil sarapan, tubuh kita akan mengalami keadaan di mana ia tidak menerima sebarang nutrien dan menganggap ia sedang berpuasa.
Selepas jangka masa yang lama tidak mengambil makanan, sebaik saja kita mengambil makanan tengah hari, tubuh akan menyimpannya dalam bentuk lemak kerana ia tidak mendapat makanan pada waktu yang tetap dan makanan seterusnya masih tidak dapat dipastikan waktunya.

Tanpa vitamin dan garam mineral yang diperoleh ketika sarapan, tubuh kita akan kekurangan tenaga untuk beraksi pada tahap optimum kerana ia tidak menerima khasiat yang diperlukan.

Menurut Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr Tee E Siong, pengambilan bijirin dan produk berasaskan bijirin adalah penting untuk keperluan tenaga dan nutrisi harian kerana bijirin adalah sumber utama bagi pembekal tenaga dan protein. Pengambilan bijirin bijian penuh amat digalakkan kerana ia kaya dengan karbohidrat, serat, vitamin, garam mineral dan asid lemak.

Di Eropah, jawapannya mungkin ada di dalam sebiji croissant manakala di Timur Tengah, kebab dan falafel menjadi pilihan, sementara di Malaysia mungkin di dalam smoothie dan bijirin sarapan. Dengan selera juadah yang semakin global, sarapan turut sama berkembang dengan cita rasa ‘Timur bertemu Barat’.

Pelbagai herba tradisional Cina seperti Ginseng Amerika dan Dang Gui sudah mula diperkenalkan di dalam bijirin sarapan pagi untuk membantu golongan profesional berasa hebat menghadapi hari yang lebih produktif. Sayangilah tubuh anda. Mulakan hari anda dengan sarapan berkhasiat setiap hari dan alamilah perubahannya.

Rujukan: Harian Metro, 16/10/2012

 

Kepentingan Sarapan Pagi Untuk Pelajar

sarapan-pagi-sihat

Kebanyakan pelajar selalu meninggalkan makan sarapan pagi sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Alasan terlampau sibuk, lewat ke sekolah, tertinggal bekalan mahupun perut tidak boleh menerima makanan pada awal pagi sering menjadi alasan setiap kali dipaksa mengambil sarapan.

Anda perlu mengambil sarapan kerana ia membekalkan anda tenaga segera untuk sel-sel otak ‘menjalankan tugas’ pada waktu pagi. Malah, ia juga mengelakkan tubuh badan anda menjadi lesu. Amalan meninggalkan sarapan akan mempengaruhi tumpuan pelajar di dalam kelas.

Elak bertanggapan anda boleh menggantikan sarapan pagi yang tertinggal dengan mengambil kuantiti yang banyak pada waktu makan tengah hari. Malah ada juga berpendapat meninggalkan sarapan boleh membantu mengurangkan berat badan.

Amalan bangun awal pagi adalah paling baik kerana anda mempunyai masa membuat senaman ringan, emosi juga lebih stabil, dapat menyelesaikan kerja dengan segera dan produktiviti kerja lebih baik.

Kaji Sistem Peperiksaan

SEJAK negara mencapai kemerdekaan pada 1957, sistem pendidikan kebangsaan mengalami bermacam-macam perubahan. Namun, kritik sosial melihat perubahan itu menjurus kepada penguncupan minda berbanding pemikiran yang lebih lateral.

Pendidikan kita gagal kerana tidak kontemporari. Kerana tidak mahu berubah, sistem kita dicap tidak liberal.

Bukan itu sahaja, kalau menyemak balik fail-fail lama, maka kita dapati kritikan juga menyentuh kelemahan sistem, kandungan dan format.

Malah ada pandangan yang menyebut sistem pendidikan merupakan virus yang merosakkan keseluruhan sistem di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Tahap pencapaian bahasa Inggeris pula sangat lemah. Perumpamaan yang diberikan oleh seorang ketua jabatan bahasa Inggeris di sebuah IPTA kepada Utusan Malaysia baru-baru ini ialah kalau sekarang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003 mendapat A2, maka tarafnya kepada calon SPM 1985 mungkin hanya C4.

Kritik itu bukan cerminan emotif media massa, tetapi ia datang dari segenap hierarki masyarakat, daripada orang biasa sehingga kepada anak raja, daripada seorang profesor sehingga penarik beca.

Apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengkritik corak peperiksaan kita gagal melahirkan keaslian pemikiran, kekuatan analisis, daya imaginatif serta tidak inovatif, maka sistem pendidikan kita seolah-olah telah runtuh.

Walau yang disinggung oleh Raja Nazrin hanya aspek teknikal format peperiksaan, namun ia memberi kesan kepada keseluruhan sistem.

Buah fikiran anak raja yang memegang ijazah kedoktoran falsafah itu mempunyai wibawa dan kelayakan. Kita boleh berpegang dan berhujah atas landasan hujah beliau.

Secara yang mengkhusus, beliau menujukan kritiknya kepada corak format peperiksaan.

Maka kalau itu yang dikritiknya, yang paling layak terasa pedas paling kepalang ialah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Format peperiksaan adalah wacana teknikal. Di dalamnya terkandung aspek pedagogi, psikologi dan teknologi.

Lebih dalam lagi, ia perlu distruktur supaya sesuai dengan konsep soalan beraras, mematuhi wajaran konstruk, cakupan konteks, masa menjawab, jenis soalan, serta pelbagai aspek teknikal lain.

Pada masa yang sama, pihak yang bertanggungjawab juga cuba memperkenalkan soalan yang berkonsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran berfikir, Strategi Berfikir (KBSB).

Pelbagai teori pendidikan dari Barat dan tempatan diterapkan ketika menggubal peperiksaan.

Bagi yang mengikuti aspek rencam ini, maka sebenarnya banyak perubahan yang telah berlaku dalam penggubalan format peperiksaan dan pentaksiran dalam sistem pendidikan ini.

Lawan kepada objektiviti ialah kreativiti dan terbuka.

Satu sistem dikatakan bercorak objektif apabila semua pelajar perlu menjawab mengikut satu skema sahaja.

Sebagai contoh, kalau pelajar ditanya bagaimana hendak membuka tudung botol gabus, maka daripada perspektif di Malaysia, jawapannya ialah merendam dalam air panas. Jawapan lain tidak boleh diterima. Pelajar yang menjawab, ia boleh dibuka dengan pembuka tutup botol, juga salah, sedangkan ia sebenarnya boleh diterima. Bentuk tertutup begini dipanggil respons terhad.

Jawapan mengikut skema tidak mengundang kreativiti.

Bagi yang berlatarbelakangkan pendidikan di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat (AS), corak pendidikan di Malaysia memang aneh. Di sana, peperiksaan adalah `berasas sekolah’, iaitu tiada peperiksaan bersifat kebangsaan. Setiap daerah ada sistemnya sendiri. Jadi, kebanyakan soalan bersifat respons terbuka kerana guru tidak perlu menyemak kertas yang banyak. Guru sanggup menerima pelbagai jawapan mengikut kreativiti pelajar.

Di AS, tiada istilah `panduan menjawab peperiksaan’ akibat respons terbuka yang mencambahkan kreativiti ini.

Guru sekolah yang memeriksa kertas peperiksaan pelajar.

Di Malaysia, yang mempunyai sejarah dalam hubungan kaumnya yang tersendiri, maka Dasar Pendidikan Negara (DPN) digubal untuk menyatupadukan kaum dengan acuan satu kurikulum.

Penyeragaman menimbulkan banyak kekangan teknikal seperti memeriksa terlalu banyak kertas setiap kali peperiksaan kebangsaan. Lebih parah lagi kalau soalan respons terbuka ditanya kepada pelajar. Bagaimana kalau satu soalan respons terbuka mempunyai 10,000 jawapan yang berbeza?

Oleh kerana keseragaman kurikulum di seluruh negara jugalah, maka soalan peperiksaan perlu berdasarkan konstruk sukatan pelajaran.

Kalau hendak melaksanakan corak kreativiti, guru perlu dilatih secukupnya, dan pemahaman kognitif mereka perlu dicanai sematang-matangnya.

Guru sering dikatakan gagal melaksanakan sesuatu pendekatan.

Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bertema Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan, pada halaman 83, perkara 3.75 menyebut:

“Kelemahan dalam pelaksanaan dan penyampaian kurikulum menghalang pendidikan menengah daripada memenuhi keperluan pendidikan kemahiran seperti pemerolehan dan penguasaan kemahiran generik aras tinggi, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan kemahiran menguruskan sumber.”

Penyampaian di sini merujuk kepada cara guru dan pegawai di peringkat akar umbi melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Kita juga khuatir, guru bermentaliti objektif hasil daripada sistem pendidikan objektif ini akan `kembali ke sekolah’ membawa sekali pemahaman kognitif untuk disebarkan di sekolah.

Indikator terhadap corak objektif yang paling ketara ialah semua orang mahu mengejar kejayaan.

Kejayaan pula ditakrif daripada gred yang diperoleh.

Baru-baru ini, ketika berbual dengan seorang guru di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, beliau menggambarkan tekanan kepada indikator gred untuk calon SPM seperti berikut:

“Dulu orang cuma bertanya dapat gred berapa, sebelum nak tahu berapa agregat. Apabila SPM Pensijilan Terbuka diperkenalkan pada 2000, orang tanya berapa A, dan sekarang orang tanya berapa 7A, 8A atau 10A.”

Tekanan terhadap `berapa A’ itu benar-benar memberi implikasi yang menyeluruh kepada kehidupan generasi muda di negara ini.

Yang merasakan dirinya gagal bersaing untuk mendapat berapa A ini akan memilih jalan hidupnya sendiri.

Kita perlu menangani sesuatu isu secara yang mengkhusus, tetapi sesuai dengan keseluruhan organisasi.

Sekiranya isu yang diperkatakan ialah peperiksaan, maka segala jenis penilaian di sekolah perlu dirombak.

Kita perlu bersedia menerima perubahan, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan perpaduan kaum dan bernegara di Malaysia, seperti mana yang kita kecapi sepanjang 47 tahun ini.

Sumber Rujukan: Arkib Utusan Malaysia, 09/09/2004