10 Petua Hadapi Peperiksaan

1. Jangan tinggalkan doa dan solat hajat

2. Bersedekah

Antara keberkatan bersedekah adalah diluaskan rezeki oleh Allah SWT. Rezeki bukan berupa harta semata-mata, tetapi juga berupa kejayaan dalam pelajaran. Justeru, biasakan diri bersedekah sekurang-kurangnya pada hari Jumaat bagi meraih keberkatan tersebut.

3. Lazimi membaca Al-Quran

Antara cara untuk menjernihkan hati adalah dengan zikrullah , manakala zikrullah yang paling afdhal adalah membaca Al-Quran.

4. Hafal ” mana yang patut ”

Jangan bebankan otak kita untuk menghafal perkara-perkara yang ”tidak patut”, sebaliknya kenal pasti apa yang patut dihafal dan mana yang tidak. Adakala, sesetengah subjek memerlukan lebih kepada kefahaman berbanding menghafal. Sebaliknya ada juga subjek yang memerlukan lebih kepada hafalan , contohnya takrif-takrif istilah atau dalil-dalil. Jika kita tidak bijak membezakan kedua perkara tersebut, dikhuatiri otak kita cepat penat seterusnya mengurangkan kualiti pembelajaran kita dan menyebabkan otak berserabut.

5. Buat nota

Sebenarnya ada kelebihan kepada pelajar yang suka menulis. Perhatikan, ada orang kerjanya memang suka menulis, manakala ada orang lebih suka mendengar. Orang yang suka menulis akan menulis apa sahaja yang dia dengar atau maklumat yang dia dapat, tetapi sesetengah orang tidak begitu. Kalau dilihat dari sudut kaedah menghafaz Al-Quran, kaedah menulis (tahriri ) ini sebenarnya sangat membantu ingatan seseorang penghafaz Al-Quran. Begitu juga dengan madah / subjek, jika kita seorang yang rajin membuat nota , meskipun kita tidak menghafal secara langsung, tetapi menulis nota itu sendiri sebenarnya merupakan satu proses hafalan secara tidak langsung kepada kita.

6. Belajar dengan bijak (study smart)

Sememangnya cara belajar akhir waktu bukanlah cara yang baik untuk dipraktikkan. Sebaiknya, kita telah mempunyai jadual ulangkaji yang konsisten dari awal lagi.

7. Betulkan niat

Sesungguhnya niat kita bukan hanya untuk semata-mata untuk lulus, sebaliknya kita mahu menyimpan ilmu itu benar-benar di dalam dada kita.

8. Minimakan perkara-perkara yang melalaikan

Jika seseorang itu benar-benar mahu sukses, maka ini antara mujahadah terbesar yang perlu dilakukan. Bukan mudah sebenarnya untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Contohnya menonton filem, bermain game, melayari internet, Facebook dan selainnya. Kecuali jika kita bijak membataskan masa, maka tidak akan menjadi masalah. Jika tidak, peratusan tumpuan kita akan terjejas.

9. Doa guru

Antara punca keberkatan adalah keredhaan dari guru yang mengajar. Meskipun kita tidak rapat dengan guru atau pensyarah, sekurang-kurangnya jangan tinggalkan mereka dalam setiap doa kita. Mintalah pada Allah supaya guru kita tersebut diberikan kesihatan serta kebaikan yang berpanjangan. InsyaAllah ilmu yang kita dapat akan diberkati & dipermudahkan oleh Allah.

10. Minta doa dari ibu bapa

Mintalah restu dari kedua ibu bapa kita dan minta mereka doakan kita supaya dipermudahkan dalam menempuhi peperiksaan. Semoga redha dari mereka akan memudahkan proses pembelajaran kita dan memberi kelapangan kepada hati kita untuk menduduki peperiksaan.